Saturday 17 November 2012

PENYAKIT BATIN BOLEH MENYEBABKAN MANDUL



Kesuburan seseorang lelaki biasanya diukur dari segi keupayaan benih-benihnya mempersenyawakan ovum (telur) perempuan. Keupayaan ini bergantung atas beberapa faktor seperti hitungan benih yang cukup, kebolehan benih bergerak-gerak dan bentuk benih yang normal. Di samping itu persetubuhan adalah penting dan sesuatu kelemahan dalam hubungan seks seperti impotens atau lemah tenaga batin, ejakulasi prematur dan ejakulasi ke belakang (retrograde) boleh menimbulkan kemandulan.
Seseorang lelaki itu boleh subur jika telah membuktikan bahawa ia boleh menghamilkan pasangannya. Ia ‘mandul’ langsung jika didapati air maninya tidak mengandungi benih-benih atau daya pergerakan benih-benih dan bentuk normal benih-benih itu kurang dari biasa. Air mani lelaki yang tidak mengandungi benih langsung digelar azoospermia manakala air mani yang rendah hitungan benih digelar oligospermia.
Sebagaimana telah ditegaskan, pihak lelaki didapati menyebabkan lebih kurang 40 peratus dari kes-kes mandul yang datang ke klinik doktor pakar obstetriks dan ginekologi untuk penyiasatan dan rawatan. Oleh itu penting ditegaskan bahawa pihak lelaki perlu datang bersama-sama isteri untuk menemui doktor walaupun perbuatan ini mungkin mengancam egonya dan menyinggung maruah kelakiannya. Dalam bab ini penghuraian secara mendalam akan dibuat dari segi sebab-sebab kejadian kemandulan lelaki, pemeriksaan dan ujian-ujian siasatan, dan rawatan-rawatan bagi kemandulan lelaki.
Sebab-sebab Kemandulan Lelaki
Apa yang saya maksudkan dengan ‘kemandulan lelaki’ di sini sebenarnya tidak bererti bahawa seseorang itu tidak boleh langsung menghasilkan satu penghamilan terhadap isterinya. Konsep kemandulan lelaki di sini adalah satu konsep yang ‘relatif’, ertinya data pembiakan atau kesuburan seseorang lelaki itu berkurangan walaupun ada setengah daripada mereka mandul langsung. Lelaki tersebut mungkin mempunyai benih-benih dalam air maninya tetapi hitungan benih tersebut mungkin berkurangan atau pun daya pembiakan benih-benih tersebut adalah rendah jika dibandingkan dengan yang lain. Tetapi terdapat setengah mereka tanpa mempunyai benih langsung dalam air mani mereka (azoospermia) dan mereka tidak mempunyai harapan untuk menghamilkan isteri mereka.
Banyak perkara boleh menyebabkan seseorang lelaki menjadi rendah daya kesuburannya. Di sini saya akan huraikan beberapa perkara yang menyebabkan penyakit ini. Pertamanya penyakit semula jadi, iaitu satu penyakit yang diwarisi khususnya penyakit yang bersangkutan dengan kelainan dalam rangkai ‘chromosome’ di mana lelaki tersebut mempunyai buah zakar yang amat kecil dan dengan ini ia tidak mempunyai daya untuk mengeluarkan benih-benih lelaki. Penyakit yang saya maksudkan ini ialah penyakit Klinefelters syndrome. Lain-lain penyakit semula jadi yang mungkin menyebabkan kemandulan lelaki ialah sesuatu penyakit yang menimbulkan kelainan dalam persaluran air mani, karung air mani atau pun persaluran air kencing tempat-tempat yang dilalui air mani bila dikeluarkan. Mungkin salah satu daripada saluran-saluran tersebut menjadi tersekat. Dalam hal ini kadangkala kita dapati seseorang lelaki mempunyai persaluran air kencing yang luar biasa, iaitu ia terbuka pada pangkal zakar, bahagian bawah (hypospadias) atau bahagian atas (epispadias), bukan pada hujung zakarnya seperti pada lelaki yang normal.
Sesuatu penyakit yang menimpa pada buah zakar, khususnya penyakit-penyakit yang merosakkan sel-sel pembina benih lelaki seperti penyakit mump atau beguk boleh menyebabkan kemandulan. Penyakit ‘mump’ tidak semestinya melibatkan buah zakar tetapi jika menimpa buah zakar akibatnya buruk. Juga penyakit-penyakit yang menimpa pada persaluran airmani seperti penyakit tibi, penyakit-penyakit gonorrhoea dan siplis juga boleh menyekat perjalanan benih-benih daripada buah zakar kepada karung air mani. Sejenis penyakit digelar varicocele di mana saluran pembuluh (veins) menjadi luar biasa dan bergumpal-gumpal, seperti keadaan vericose vein pada kaki, boleh menyebabkan kemandulan lelaki.
Terdapat beberapa penjelasan tentang bagaimana gerombolan vein ini menyebabkan kemandulan lelaki dan salah satu daripadanya ialah hawa panas yang bertindak terhadap buah zakar dan saluran mani dan ini menindas pembentukan benih. Lelaki yang terdedah kepada bahangan radiation, misalnya seseorang yang mendapat rawatan oleh sebab barah buah zakar atau pekerja dalam pusat-pusat radioisotope yang terdedah kepada unsur-unsur radiotion boleh menjadi mandul ataupun kesuburannya menjadi kurang. Hawa panas boleh menindas pembentukan benih-benih, khususnya bagi lelaki yang bekerja dikilang-kilang blast furnace, juga pemandu-pemandu lori atau kereta yang perlu memandu beratus-ratus batu jauhnya di hari yang panas. Banyak di antara kes-kes mandul yang saya rawati terdiri dari pemandu-pemandu kereta dan lori.
Berkaitan dengan perkara ini penggunaan seluar dalam atau suspender yang amat ketat boleh menindas pembentukan benih-benih lelaki. Seluar-seluar dalam yang ketat menyebabkan buah zakar melekat pada badan, yang mana sukatan suhunya adalah lebih panas daripada buah zakar.
Setengah daripada mereka yang merokok terlalu banyak dan juga mereka yang meminum arak terlalu banyak, mungkin mendapati hitungan benih dalam air mani mereka menjadi kurang daripada biasa. Keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan. Kadang-kadang terdapat buah zakar tidak turun dan menduduki karung-karung mereka, satu atau kedua buah zakar mungkin terletak di dalam perut (undescended testes). Keadaan penyakit ini seringkali dikaitkan dengan kemandulan tetapi yang lebih penting bagi keadaan ini ialah seringkali ia dikaitkan dengan kejadian barah buah zakar.
Gangguan dalam pembentukan benih mungkin disebabkan oleh sesuatu penyakit dalam kilang-kilang hypothelamus dan pituitari. Pengeluaran hormon-hormon FSH dan ICSH mungkin terganggu dalam penyakit tersebut dan menyebabkan pembentukan benih tertindas. Satu penyakit di mana pengeluaran hormon prolactin oleh kilang pituitari menjadi berlebihan boleh menyebabkan kemandulan dan lemah tenaga batin (impotence) di kalangan lelaki.
Ramai di antara orang lelaki yang didapati hitungan benih mereka rendah (oligospermia) tidak menghidap apa-apa jenis penyakit dan tidak ada sebab boleh dikesan selepas berbagai jenis penyiasatan dilakukan. Kumpulan ini merupakan bilangan terbesar di kalangan lelaki mandul.
Pemeriksaan dan Penyiasatan Lelaki yang Mandul
Dalam lawatan pertama biasanya pihak lelaki tidak diperiksa, hanya isterinya diperiksa dengan teliti. Oleh itu dalam lawatan pertama ke klinik mandul, suami tidak perlu ikut bersama tetapi biasanya saya arahkan si isteri itu memberikan pesanan atau memberitahu suaminya supaya datang ke Makmal pada masa yang tertentu supaya air maninya boleh disiasat. Jika sesuatu kelainan didapati dalam penyiasatan air mani itu maka barulah suami itu dipanggil untuk diperiksa dan penyiasatan selanjutnya dilakukan. Walaupun demikian jika suami datang bersama-sama isteri dalam lawatan pertama, ia juga akan saya periksa. Dalam pemeriksaan ini banyak persoalan akan dikemukakan kepada suami yang mungkin menyentuh hal-hal peribadi, tetapi ini tidak bertujuan untuk memperkecilkan atau menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya ia bertujuan untuk mengesan sesuatu faktor yang mungkin menyebabkan kemandulan.
Faktor-faktor menyebab kemandulan seperti yang saya jelaskan di atas akan diselidiki. Riwayat hiup suami dari aspek-aspek sosial, penyakit-penyakit yang lampau atau jenis-jenis pembedahan yang telah dijalani sebelum itu, khususnya pembedahan bagi penyakit hernia, adalah sangat penting. Pemeriksaan ke atas tubuh badan akan dilakukan oleh doktor ke atas suami khususnya untuk mengesan sesuatu penyakit yang telah saya nyatakan di atas. Pemeriksaan pembiakan khususnya zakar dan buah zakar akan dilakukan dengan teliti untuk mengesan sesuatu kelainan pada perkakas tersebut.
Walaupun kadangkala terdapat suami enggan datang untuk diperiksa tetapi bilangan mereka dalam golongan ini adalah terlalu kecil; hampir semua suami yang telah saya rawati mengikuti arahan untuk diperiksa di klinik mandul. Hakikat ini diterima oleh sebab timbulnya kesedaran di kalangan masyarakat kita bahawa kemandulan boleh juga disebabkan oleh orang lelaki. Lagipun taraf pelajaran masyarakat kita kian meningkat dan kebanyakan kelamin telah pun membaca tentang kemandulan ini dari majalah-majalah atau buku-buku dan ini memberi panduan kepada mereka supaya mendapatkan rawatan dari doktor-doktor tertentu.
Pemeriksaan Air Mani (Semen Analysis)
Pemeriksaan air mani atau semen analysis adalah satu penyiasatan yang amat penting dalam kes mandul. Contoh air mani yang akan diperiksa ini sebaiknya didapati secara pengeluaran sendiri atau masturbation. Contoh-contoh air mani yang didapati dengan cara lain seperti cara persetubuhan ataupun cara memakai sarung getah didapati tidak memuaskan untuk tujuan penyiasatan kerana perbuatan-perbuatan demikian boleh memusnahkan benih-benih.
Biasanya suami dinasihatkan supaya menjauhi daripada persetubuhan dalam masa 3-5 hari sebelum pengambilan contoh hair mani itu dilakukan. Pengeluaran air mani ini boleh dilakukan di rumah dan ia kemudian dikumpulkan dalam satu botol yang bersih. Penting diingati bahawa setelah air mani dikeluarkan ia mesti dikejarkan ke hospital dalam masa setengah atau-atau selewat-lewatnya satu jam. Mereka yang datang dari jauh akan mendpati sukar untuk membawa contoh air mani dari rumah kerena perjalanan ke hohspital mungkin mengambil masa yang amat panjang. Oleh itu kemudahan-kemudahan diberi kepada mereka untuk mengeluarkan contoh air mani nmereka di hospital-hospital. Setengah daripada suami yang telah saya rawati mengalami kesukaran untuk mengeluarkan air mani dengan cara masturbasi.
Dalam penyiasatan air mani ini beberapa perkara akan diteliti. Di antara perkara-perkara tersebut ialah isipadu (volume), viscositi hitungan benih dan ada atau tidaknya sel-sel luar biasa. Kandungan bahan-bahan kimia seperti fuctose, phospatedan hyaluronidase dalam air mani kadangkala juga disukat. Air mani yang ‘normal’ adalah mempunyai isipadu lebih kurang 3 cc dan ia menjadi cair selepas setengah jam jika dibiarkan. Hitungan benih yang normal ialah sebanyak 20 juta benih-benih atau lebih dalam 1 cc. Air mani tersebut mestilah mengandungi sekurang-kurangnya 70 peratus benih yang berbentuk normal dan juga sekurang-kurangnya 40 peratus daripada benih-benih tersebut mempunyai daya bergerak.
Jika air mani tersebut didapati tidak mengandungi benih lansung, keadaan ini digelar azoospermia dan ia boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit yang telah saya jelaskan di atas. Apabila keadaan ini berlaku biasanya saya arahkan supaya pemeriksaan air mani diulang dan jika dipastikan bahawa tiada benih langsung dalam air mani (azoospermia) dalam 2 atau 3 kali penyiasatan, maka penyiasatan-penyiasatan yang selanjutnya akan dilakukan seperti penyukatan paras hormon dalam darah, testicular biopsy dan chromosome analysis.
Kadangkala kita dapati hitungan benih-benih adalah rendah iaitu hitungan antara 10 hingga 20 juta benih per ml, dan keadaan ini dipanggil oligospermia. Banyak perkara boleh menyebabkan keadaan tersebut dan ini telah saya huraikan di atas. Biasanya dalam hal demikian saya beri nasihat-nasihat tertentu dan juga rawatan-rawatan tertentu khususnya dengan ubat-ubat hormon. Analisa air mani selanjutnya diulang selepas nasihat-nasihat dan rawatan diberikan. Jika terdapat daya pergerakan benih-benih lelaki itu menjadi terlalu rendah (kurang dari 30%), rawatan khusus dengan hormon juga diberikan.
Testicular Biopsy
Jika telah dipastikan bahawa seseorang lelaki itu tidak langsung mengeluarkan benih, rawatan atau penyiasatan selanjutnya yang saya lakukan adalah ‘testicular biopsy’, di mana sedikit tisu daripada buah zakar diambil untuk dikaji secara mikroskop. Untuk melakukan penyiasatan biasanya saya tidak lakukan sendiri tetapi saya mendapatkan pertolongan daripada Doktor Pakar Urology yang biasanya mengendalikan penyakit-penyakit pada sistem pembiakan orang-orang lelaki. Dalam penyiasatan ini yang biasanya boleh dilakukan secara pesakit luar iaitu pesakit-pesakit tidak perlu dimasukkan ke hospital, secebis tisu dari buah zakar diambil di bawah pengaruh bius tempatan sahaja. Kemudiannya tisu-tisu ini dihantar kepada Doktor-doktor Pakar Patologi untuk dikaji bentuk-bentuk selnya. Dari maklumat-maklumat ini kita boleh dapati apakah sebab-sebab yang menimbulkan kejadian ‘azoospermia’ atau ketiadaan benih-benih.
Pemeriksaan Darah
Beberapa pemeriksaan darah akan juga dilakukan, ini bertujuan untuk mengesan paras hormon ‘testosterone’ dan juga ‘follicle stimulating hormone’ (FSH). Jika sesuatu kelainan didapati dalam paras hormon ini maka rawatan dengan hormon-hormon tertentu boleh diberikan. Penyiasatan ‘chromosome analysis’ perlu juga dilakukan jika kita mengesyaki penyakit ‘Klinefelter Syndrome’. Siasatan in adalah untuk mempastikan penyakit tersebut. Ada setengah pakar-pakar yang juga menyiasat tentang paras antibodi dalam darah suami untuk mengesan semen antibody. Setakat ini pakar-pakar belum dapat menentukan tentang kepentingan ‘antibodi’ dalam darah seseorang lelaki.
Rawatan Bagi Kemandulan
Nasihat-nasihat umum
Nasihat-nasihat umum khususnya nasihat yang bersangkutan dengan persetubuhan adalah sangat penting. Saya pernah menemui beberapa suami yang lemah tenaga batin mereka iaitu apa yang kita gelar ‘impotence’. Keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan kerana ini adalah disebabkan oleh tekanan menal. Kadangkala juga terdapat si suami tidak boleh melakukan persetubuhan oleh kerana ‘premature ejaculation’. Beberapa nasihat tertentu boleh saya berikan tentang keadaan ini tetapi jika gagal biasanya saya rujukkan perkara ini kepada Doktor-doktor Pakar Ilmu Jiwa ataupsychiatrist. Saya juga pernah temui satu pasangan kelamin yang mandul selama 3 tahun dan apabila saya selidiki tentang riwayat persetubuhan, mereka tidak pernah langsung mengadakan persetubuhan oleh sebab sesuatu keadaan yang menghalangnya seperti lubang faraj terlalu kecil. Dalam hal demikian nasihat-nasihat tertentu dan juga rawatan secara pembedahan kecil terhadap faraj isteri boleh dilakukan untuk membetulkan keadaan demikian. Salah seorang daripada mereka telah hamil selepas pembedahan kecil tersebut.
Nasihat-nasihat seperti pemakaian seluar dalam yang longgar dan menjauhi pemakaian suspender yang ketat adalah penting bagi mereka yang mana hitungan benihnya adalah rendah. Saya juga sering nasihatkan kepada mereka untuk merendam buah zakar mereka dalam air yang sejuk sekurang-kurangnya 10 minit setiap kali mereka balik daripada kerja. Keadaan ini dipercayai boleh menambahkan hitungan benih-benih mereka. Mereka juga saya sering nasihatkan memakan bahan-bahan makanan yang mempunyai banyak zat khususnya makanan yang banyak mengandungi berbagai jenis viamin. Setengah pakar berpendapat bahawa vitamin E boleh memperbaiki daya kesuburan seseorang lelaki tetapi bukti tentang hakikat ini hanya boleh didapati daripada eksperimen pada haiwan, buktinya pada manusia belum jelas lagi.
Nasihat-nasihat tentang persetubuhan pada waktu yang tepat khususnyaa pada ketika isterinya itu subur adalah penting. Biasanya kesuburan isteri berlaku pada pertengahan edaran wanita iaitu hari yang ke 14 jika dihitung dari hari pertama mula datang haid, pada orang yang edaran haidnya tetap 28 ke 30 hari. Dalam hal ini biasanya saya memberi nasihat tertentu kepada pasangan-pasangan yang mana si suami seringkali keluar beberapa hari dalam sebulan. Misalnya pasangan yang suaminya bekerja sebagai askar, polis hutan ataupun pemandu-pemandu lori yang pergi jauh. Pada ketika isterinya subur saya beri nasihat supaya mereka berada di rumah dan persetubuan dilakukan pada ketika itu.
Satu lagi nasihat yang kadangkala saya berikan kepada lelaki-lelaki yang rendah hitungan benih mereka (oligospermia) ialah ketika mereka melakukan persetubuhan mereka mempraktikkan split ejaculate. Ini bermakna ketika suami mencapai kemuncak dan mengeluarkan air maninya ia hanya melepaskan separuh sahaja air maninya ke dalam kemaluan isteri, dan separuh yang kemudian dilepaskan di luar. Adalah dipercayai separuh bahagian pertama air mani mengandungi lebih banyak benih daripada separuh bahagian terkemudian. Amalan ini patut diteruskan jika ia gagal selepas beberapa percubaan kerana ia mengurangkan kepuasan persetubuhan di pihak isteri.
Rawatan Dengan Hormon
Beberapa jenis hormon telah digunakan untuk merawat kemandulan orang-orang lelaki tetapi rawatan ini hanya ditujukan kepada mereka yang mana hitungan benihnya rendah atau pun jika daya pergerakan benih-benih itu rendah. Jika seseorang lelaki itu tidak ada mempunyai benih langsung tidak ada rawatan ubat yang khusus boleh diberikan kepadanya Beberapa jenis hormon boleh digunakan untuk rawatan orang-orang lelaki yang hitungan benih mereka rendah Kebanyakan dari hormon-hormon itu adalah termasuk di dalam golongan hormon lelaki yang digelar ‘testosterone’. Jenis hormon yang sering saya gunakan ialah provironum yang saya arahkan untuk dimakan sebanyak 3 kali sehari. Setelah memakan ubat-ubat ini selama 6 bulan atau setahun, saya dapati ramai daripada mereka meningkat bilangan benih-benih dalam air mani. Ada setengah daripada mereka yang bilangan benihnya mencapai ke peringkat normal. Mengikut kajian-kajian yang telah dijalankan lebih kurang 30% daripada mereka ini kemudiannya boleh menghamilkan isteri mereka. Lain-lain jenis hormon telah juga digunakan misalnya clomid hormon-hormon thyroid dan gonadrotrophins, tetapi hasil daripada rawatan-rawatan hormon tersebut tidak begitu memuaskan.
Rawatan Pembedahan bagi Kemandulan Orang-orang Lelaki
Pada ketika ini rawatan pembedahan bagi orang-orang lelaki mempunyai peranan yang terhad, iaitu hanya dalam satu jenis penyakit sahaja yang saya dapati rawatan pembedahan ini memuaskan. Penyakit yang saya maksudkan ialah penyakit varicocele di mana pembuluh darah menjadi luar biasa iaitu bergumpal-gumpal dalam karung buah zakar. Rawatan bagi penyakit ini ialah untuk mengikat saluran pembuluh ini supaya ia tidak boleh mempengaruhi pembentukan benih-benih dalam zakar. Mengikut kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas kes-kes yang telah dibedah, lebih kurang 60% mendapati hitungan benih mereka meningkat naik. Walaupun demikian hanya lebih kurang 20-30% daripada mereka yang berjaya untuk menghamilkan isteri-isteri mereka. Rawatan yang selanjutnya bagi yang berbentuk pembedahan bagi merawat kemandulan lelaki jarang sekali dilakukan seperti penyambungan persaluran air mani. Satu lagi aspek rawatan pembedahan ialah pembetulan persaluran air kencing yang luar biasa. Ini pun jarang kita temui.
Inseminasi benih suami (AIH) dan benih penderma (AID) akan dibincangkan nanti.

1 comment:

  1. Saya tertarik bila membaca artikel lemah syahwat ini dan ingin berkongsi pendapat. kadangkala lemah syahwat berpunca dari gangguan syaitan atau sihir, sudah tentu tidak boleh dirawat dengan pemakanan semata2. Saya selalu mencadangkan kawan2 yg bermasaalah lemah syahwat menemui 1 ustaz di negeri Johor.. Alhamdulilah kata mereka semenjak berubat sengan ustaz tu ok malahan ada yg isterinya akhirnya mengandung setelah lebih tujuh tahun menikah tidak dapat cahayamata : Ustaz Adi Wijaya, guru agama di daerah Pontian / tinggal di kg Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat, Johor. Saya paparkan kisah ini untuk membantu sesama umat yang memerlukan khidmat perubatan traditional agar tidak tersilap memilih perawat. Sempat saya rakam beberapa foto ritual perubatan beliau:
    http://my.opera.com/saharaaban/albums/show.dml?id=14706102
    http://www.flickr.com/photos/100007933@N06/

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...